Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kelantan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membantu golongan daif di negeri ini terutamanya yang tular di media sosial, malah mengalu-alukan mereka membuat kebaikan sekali gus dapat membantu kerajaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, baru-baru ini tular video dan gambar warga emas dikenali Pok Hod bersama isteri serta anaknya mengutip barangan lusuh menaiki beca sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama warganet.

Katanya, dalam hal ini, setiap netizen yang hendak mengkritik seharusnya mengetahui cerita dan latar belakang, bukannya menghentam kerajaan dan pemimpin tanpa usul selidik serta tidak mengetahui kisah sebenar.

"Dalam Islam pun digalakkan untuk membantu orang susah, tetapi janganlah sehingga menutup kebaikan yang pernah dibuat oleh orang lain sebelum bantuan dihulurkan oleh pihak lain.

"Di setiap kampung ada imam dan penghulu dan bagi mereka yang tidak mengetahui cerita beranggapan seolah-olah imam dan penghulu tidak mengambil tanggungjawab dan cakna tentang masalah masyarakat setempat sekali gus ia memberi satu gambaran yang buruk.

"Justeru, orang ramai perlu berfikiran matang dan bijaksana sebelum membuat andaian atau kritikan dalam satu-satu perkara," katanya.

DATUK Ahmad Yakob (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pejuang tanah air kepada Mohd Rani Hussin. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Yakob (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pejuang tanah air kepada Mohd Rani Hussin. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2022 oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Dataran Warisan, perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya turut menerima tempias apabila kisah keluarga Hod Ahmad, 72, yang ditularkan, namun tidak menyalahkan orang ramai kerana dianggap tidak mengetahui perkara sebenar.

Keluarga ini sudah menerima bantuan, contohnya rumah dan elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima kelima-lima mereka berjumlah RM1,400 sebulan sejak beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 2:38 PM