CADANGAN pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu adalah tertakluk kepada hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP). FOTO Arkib NSTP
CADANGAN pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu adalah tertakluk kepada hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu adalah tertakluk kepada hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang sudah bermula pada Mac lalu dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, kajian itu meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu, dengan kajian itu antara lain turut meneliti sama ada cadangan projek berkenaan berdaya saing atau sebaliknya.

"Sehingga kini tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman seperti mana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang ingin tahu sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu yang dicadangkan sebuah syarikat swasta sudah mendapat kelulusan dasar daripada kerajaan dan sama ada projek itu berdaya saing serta memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.

Wee berkata, Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada 27 Oktober 2020 antara lain bersetuju secara dasar dengan cadangan pembinaan lapangan terbang Pulau Tioman tertakluk kepada keperluan menyediakan beberapa laporan teknikal seperti laporan penilaian impak alam sekitar dan laporan penilaian impak sosial.

Katanya, mesyuarat MPFN juga memutuskan cadangan itu juga perlu diangkat semula untuk pertimbangan majlis.

Kepada soalan Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) mengenai sama ada kerajaan bercadang membina atau membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor, Wee berkata, pada masa ini kapasiti masih rendah dan belum ada keperluan berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 12:30 PM