MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dijangka tidak lagi mampu menampung pertambahan penumpang pada masa hadapan berikutan hanya memiliki landasan tunggal.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan kajian Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di Kanada, lapangan terbang landasan tunggal hanya mampu menampung penumpang maksimum 12 juta setahun.

Menurutnya, ketika ini kapasiti LTAPP sudah mencapai tujuh juta penumpang setahun dan jumlah itu dijangka meningkat sebaik penularan pandemik Covid-19 tamat atau selepas 2022.

"Semalam, kita mendapat khabar gembira apabila Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin buat pertama kali meluluskan pembinaan projek KXP.

"Kita faham kerajaan Pulau Pinang ada berhasrat memperbesarkan LTAPP tetapi ia didapati tidak lagi mampu menampung jumlah penumpang kerana hanya memiliki landasan tunggal.

"Mengikut perancangan, KXP akan mempunyai empat landasan iaitu fasa satu dan dua bagi pembinaan landasan pertama dan kedua sebelum dua lagi landasan dibina menjelang 2050," katanya ketika sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, KXP juga mempunyai nilai tambah apabila sebuah syarikat swasta yang mempunyai tanah seluas lebih 2,400 hektar berhampiran tapak projek memohon membangunkan kawasan itu bagi pembangunan taman semikonduktor baharu.

"Maka dengan kargo yang dikeluarkan dari Taman Perindustrian Tinggi Kulim dan taman semikonduktor baharu ini, KXP akan menjadi pencetus perubahan ekonomi bukan sahaja untuk Kedah tetapi kepada Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

"Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah dijangka mampu meningkat sehingga 4.6 peratus selepas KXP dibangunkan dan ia akan membawa kesan pembangunan sehingga ke kawasan tengah Kedah.

"Selepas ini, kita akan memulakan proses ambil alihan tanah dan berusaha mendapatkan bantuan kewangan berjumlah RM2.5 bilion daripada Kerajaan Pusat sebelum proses seterusnya dapat dilaksanakan," katanya.

Selain pembinaan lapangan terbang dan landasan utama, komponen KXP turut membabitkan pembangunan Taman Aeropolis Sidam dan pembinaan lebuh raya baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:30 PM