Anthony Loke Siew Fook pada Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-22 di Hotel Kintta Riverfront Ipoh. FOTO L. MANIMARAN
Anthony Loke Siew Fook pada Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-22 di Hotel Kintta Riverfront Ipoh. FOTO L. MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mengguna kaedah kerjasama awam-swasta (PPP) untuk kerja penaiktarafan lapangan terbang yang dianggap kurang berdaya saing.

Menterinya, Anthony Loke berkata pihaknya sudah berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku kumpulan operator terbesar yang mengendalikan lapangan terbang di negara ini untuk melihat kaedah usaha sama itu, berikutan kekangan kewangan di peringkat persekutuan ketika ini.

Katanya, kaedah yang diguna pakai sebelum ini tidak bersifat 'ekonomikal' terutamanya bagi lapangan terbang yang tidak mempunyai banyak penerbangan.

"Model yang sebelum ini khususnya bagi lapangan terbang yang dikira tidak berdaya saing, ia bukannya ekonomikal sebab tidak banyak penerbangan.

"Jadi MAHB tidak akan melabur untuk menaik taraf sehinggalah mendapat peruntukan pembangunan dari kerajaan.

"Maksudnya jika ada pihak swasta yang melabur dengan MAHB, walaupun pulangannya mengambil masa, namun jika berdaya saing, dapat banyak penerbangan, penumpang ramai maka pendapatan akan bertambah.

"Dan di lapangan terbang itu ada dia punya (kedai) 'retail' (peruncitan), ada kedai-kedai yang boleh membuat perniagaan dan sebagainya.

"Ini adalah model yang kita nak lihat sekarang ini iaitu bagaimana juga untuk mendapatkan pelaburan swasta untuk berusaha sama dengan pihak MAHB," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak ke-22 di sini, hari ini.

Anthony berkata, antara lapangan terbang yang dicadangkan dengan pelaksanaan model itu adalah Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh yang meliputi naiktaraf terminal namun tidak membabitkan naiktaraf membabitkan pembesaran kawasan di landasan.

"LTSAS Ipoh ini adalah lapangan terbang yang sudah sedia wujud dan kita hendak lihat bagaimana kerja menambah baik dan naik taraf lapangan terbang ini dibuat tanpa menjejaskan strukturnya yang sedia ada.

"LTSAS Ipoh bukannya satu lapangan terbang yang 'viable' (berdaya maju) untuk MAHB sebab penumpangnya tak ramai, tidak seperti lapangan terbang di Pulau Pinang yang penumpangnya cukup ramai.

"Ia tak akan mencipta permintaan terhadap itu (naik taraf) jadi satu pelaburan baharu (boleh dilakukan) memandangkan sebelum ini MAHB tidak berniat untuk memperbesarkan LTSAS dengan modal mereka sendiri," katanya.

Mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, dekat Parit, berkata pembinaan sesuatu lapangan terbang baharu memerlukan proses yang sangat panjang termasuk mendapat kelulusan awal dari Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

"Kalau tidak dapat kelulusan, tak boleh mulakan proses itu selain ia satu proses yang sangat-sangat rumit. Tetapi apa yang kita hendak lihat adalah apa yang sedia ada ini (lapangan terbang), kita tambah baik dan naik taraf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 3:37 PM