LOKE. FOTO Arkib NSTP
LOKE. FOTO Arkib NSTP
Irwan Shafrizan

Putrajaya: Kerajaan Kedah masih belum membuat sebarang permohonan kepada kerajaan berkaitan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi sebahagian pembangunan Projek Kedah Aerotropolis.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan belum ada sebarang permintaan lagi daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengadakan pertemuan berkait perkara berkenaan.

"Tiada apa-apa langsung (sebarang permohonan cadangan), tiada perkembangan baharu berkait isu ini, malah belum ada permintaan (untuk bertemu)," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lesen Vakasional Kenderaan Perkhidmatan Awam E-Hailing di sini hari ini.

Bulan lalu di sidang Parlimen, Kementerian Pengangkutan memaklumkan belum menerima permohonan aerodrome secara rasmi berhubung Projek Kedah Aerotropolis yang membabitkan pembangunan lapangan terbang di negeri itu.

Loke dipetik berkata, soal kerajaan menolak pembangunan projek itu tidak berbangkit kerana permohonan aerodrome secara rasmi belum dibuat.

Susulan itu kerajaan negeri menjelaskan belum ke peringkat memohon lesen operator aerodrome (AOL) kepada Kementerian Pengangkutan, sebaliknya memohon kelulusan membina lapangan terbang.

Muhammad Sanusi pula dilaporkan berkata, AOL yang menjadi lesen pengurusan ruang angkasa hanya boleh dipohon operator lapangan terbang sebelum operasi penerbangan dapat dimulakan.

Katanya, pada peringkat perancangan pembangunan KXP, permohonan mendapatkan AOL tidak perlu dibuat lagi.

Muhammad Sanusi juga turut memaklumkan hasratnya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan penerangan secukupnya berhubung pembangunan projek KXP.

Malah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, awal bulan lalu, menyeru Kerajaan Persekutuan menyokong pembangunan projek KXP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 12:37 PM