NIK Nazmi, gambar fail. FOTO Bernama
NIK Nazmi, gambar fail. FOTO Bernama
Oleh Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang membabitkan 76 peratus kawasan tambakan laut.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIATRC) hari ini, kementerian itu mendapati cadangan pembinaan berkenaan berpotensi memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin sekiranya diteruskan.

Katanya, keputusan itu selari dengan misi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

"NRECC mengambil maklum kebimbangan disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang juga habitat penting pelbagai spesis hidupan laut dan tarikan utama ke Pulau Tioman.

"Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu itu bagi menarik lebih ramai pelancong, ia turut mengakibatkan kerosakan kepada tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan tidak mampan.

Nik Nazmi berkata, Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai pelbagai spesis hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.

"NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar jua selesai melaksanakan proses pameran awal bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling bagi 'Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur'.

"Laporan EIA berkenaan telah dipamerkan selama 30 hari bermula 21 Jun 2023 hingga 20 Julai 2023," katanya.

Katanya, dari tempoh 45 hari iaitu 21 Jun hingga 4 Ogos lalu, NRECC menerima sebanyak 1,412 ulasan awam yang dikemukakan oleh awam.

Media sebelum ini melaporkan, pembangunan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu.

Laporan EIA oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu, termasuk 22 spesis akan terancam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 6:28 PM