Pegawai LPTA memeriksa objek dipercayai serpihan roket China yang ditemui di Sepupok, Batu Niah di Miri. NSTP/IHSAN JBPM
Pegawai LPTA memeriksa objek dipercayai serpihan roket China yang ditemui di Sepupok, Batu Niah di Miri. NSTP/IHSAN JBPM
Samadi Ahmad

Putrajaya: Tiada radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada dua objek disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh dari angkasa dan ditemukan di Sarawak baru-baru ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan perkara itu disahkan pasukan siasatan yang melakukan siasatan lanjut terhadap dua objek dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak semalam.

Empat pegawai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) daerah Bintulu bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis daerah Bintulu sudah menjalankan siasatan di lokasi pertama di Kampung Nyalau.

"Berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci berkenaan tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan pada objek itu.

"Ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua di Niah, Miri turut menunjukkan hasil yang sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan," menurut MOSTI tadi.

Sehubungan itu, MOSTI menjelaskan kedua-dua objek disyaki sisa serpihan roket China itu adalah selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya.

MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek itu bagi menentusahkan sama ada objek itu ada kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:51 PM