Serpihan roket Long March 5B milik China yang memasuki ruang udara Sarawak. FOTO IHSAN PEMBACA
Serpihan roket Long March 5B milik China yang memasuki ruang udara Sarawak. FOTO IHSAN PEMBACA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Serpihan roket Long March 5B boleh memudaratkan penduduk yang berada dalam lingkungan atau jajaran penerbangan roket itu.

Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL- MIAT) Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, ia berikutan struktur dan jisim roket itu menyebabkan tidak semua fuselaj dan komponen roket itu berkecai beribu-ribu bahagian akibat daripada geseran dengan atmosphera semasa kejatuhan ke bumi.

"Sudah menjadi lumrah iaitu pihak yang memiliki roket itu akan berkongsi data dengan pihak atau negara lain akan jajaran penerbangan roket ini supaya pihak lain dapat membuat analisis risiko akan kejatuhan roket berkenaan ke muka bumi.

"Jika didapati risikonya adalah tinggi, satu pelan strategik untuk memindahkan penduduk yang terjejas dapat di jalankan pada peringkat awal sebelum terlambat.

"Tetapi pihak berkuasa China tidak berkongsi data penerbangan kepada negara lain dan menyebabkan satu tindakan awal perpindahan tidak dapat dilakukan," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan serpihan roket didapati mendarat di lautan yg tidak mempunyai kepadatan penduduk.

"Untuk keselamatan diharap pada masa akan datang, pihak yang bertanggungjawab dapat memberi dan berkongsi data yang relevan supaya tindakan awal dan susulan dapat dilaksanakan," katanya.

Ditanya punca roket berkenaan jatuh, Dr Mohd Harridon berkata, ia adalah perkara biasa di mana selepas roket melaksanakan misinya iaitu menghantar muatan kargo, roket akan jatuh semula ke bumi.

"Yang menjadi isu adalah kejatuhan yang tidak dapat dikawal kerana roket berkenaan tidak dilengkapi dengan alatan kawalan yang optimum.

"Ada beberapa kes di mana kejatuhan roket boleh dikawal kerana roket dilengkapi dengan alatan yang jitu dan sesuai untuk mengawal kejatuhan roket tetapi untuk melengkapkan roket berkenaan dengan alatan ini memerlukan kos yang agak besar," katanya.

Menurutnya, dengan kejatuhan tidak dapat dikawal, roket berkenaan mempunyai risiko untuk tidak dapat dialihkan ke kawasan yang tidak mempunyai penduduk.

"Satu lagi yang menjadi isu ialah kesan radioaktif yang boleh tersebar kepada penduduk atau penempatan yang berada dalam jajaran penerbangan roket berkenaan.

"Kesan radioaktif ini boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan penempatan sekitar," katanya.

Semalam, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ke ruang udara bumi dikesan berlaku pada 12.55 pagi 31 Julai.

MYSA menerusi pemantauan berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kenyataan Agensi Angkasa China memaklumkan serpihan roket berkenaan terbakar ketika memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar itu turut melintasi ruang udara Malaysia dan dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk di Sarawak.

Sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 3:38 PM