ANGGOTA bomba memeriksa kepingan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memeriksa kepingan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B. FOTO Ihsan Bomba.
Joshua Eric


Sri Aman: Kepingan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China yang ditemukan dalam kebun kelapa sawit di Kampung Semawa Ulu, Pantu di sini Isnin lalu didapati tidak mengandungi radiasi atau unsur radioaktif.

Pemeriksaan awal terhadap objek itu dibuat Jabatan Kimia Malaysia, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), bomba dan polis yang bergerak ke lokasi itu untuk melakukan siasatan semalam.

"Berdasarkan siasatan awal tiada sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada objek berwarna perak yang berukuran 2.3 meter panjang dengan lebar satu meter terbabit.

"Serpihan terbabit kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk tindakan dan siasatan lanjut," kata Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan malam tadi.

Terdahulu kepingan logam terbabit ditemukan sekumpulan pekerja yang hendak memulakan kerja semburan racun di kebun kelapa sawit itu lepas sebelum ia dilaporkan kepada pemilik kebun, Kiai Naga, 78.

Selain di Pantu, Sri Aman, serpihan roket terbabit juga turut ditemui di beberapa kawasan lain di utara Sarawak antaranya ialah di Kampung Nyalau dekat Bintulu dan Sepupok Lama, Niah di Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 12:54 PM