GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dilema dihadapi pengusaha restoran berhubung isu merokok dalam kalangan pelanggan dijangka berakhir jika Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Rokok dan Produk Tembakau 2022 diluluskan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif itu ditunggu-tunggu semua pihak kerana ia baik untuk kesihatan rakyat di negara ini.

Katanya, dengan adanya undang-undang tegas itu, persekitaran restoran dan premis makanan akan lebih bersih dan segar selain memberikan suasana selesa kepada semua.

"Sebagai pengusaha restoran yang berurusan dengan pelanggan setiap hari, sudah tentu ia berita menggembirakan kepada ahli Presma yang sebelum ini berdepan dilema terutama membabitkan pelanggan yang merokok.

"Inisiatif untuk melahirkan generasi muda sihat menerusi dasar Generation End Game (GEG) ini bakal memberi keselesaan kepada pelanggan untuk menikmati udara lebih segar di premis atau restoran," katanya.

Selain itu Presma juga menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperhebat operasi larangan merokok di tempat awam termasuk restoran untuk membudayakan norma baharu.

Katanya ia usaha yang perlu dilakukan berterusan bsgi memastikan premis makanan tidak dijadikan 'sudut merokok' seperti sebelum ini.

"Mengenai pembentangan RUU ini, Presma meminta agar cadangan untuk mengenakan denda kepada pemilik restoran atau premis makanan di mana terdapat individu merokok dikaji semula.

"Ini kerana sebelum ini pun, pemilik atau petugas restoran tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pelanggan merokok, sebaliknya hanya boleh memberi teguran saja.

"Justeru Presma berharap pembentangan RUU ini akan mengambil kira semua aspek bagi memastikan usaha yang baik ini berjaya dilaksanakan tanpa memberi masalah kepada mana-mana pihak. Usaha yang baik ini perlu disokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 12:11 PM