Zaid Salim


Kuala Terengganu: Majlis Pemulihan Negara (MPN) yakin Skim Subsidi Bersasar yang dicadangkan majlis berkenaan mampu memberi penjimatan sebanyak RM20 billion setahun.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi skim berkenaan, hanya golongan sasar iaitu mereka dalam kumpulan B40 dan B60 yang berhak menerima subsidi.

Katanya, kajian yang dibuat mendapati hampir 50 atau 51 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh mereka dalam kategori orang berada.

"Orang kaya, kenderaan besar, banyak kereta dan macam-macam lagi dan mereka memperolehi satu kadar harga yang disubsidi oleh kerajaan.

"Manakala kumpulan B40 peratusan yang menerima subsidi tidak sampai 20 peratus.

"Jadi sekiranya Skim Subsidi Bersasar dilaksanakan, ia hanya membabitkan penerima daripada golongan yang sepatutnya seperti kumpulan B40 dan B60 sahaja," katanya pada Program Bersama Nelayan Road To MAHA 2022 di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini, hari ini.

MUHYIDDIN pada program perjumpaan bersama nelayan Terengganu. FOTO Ghazali Kori
MUHYIDDIN pada program perjumpaan bersama nelayan Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komiditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim dan Pengarah LKIM, Yusoff Othman.

Muhyidin berkata, sebagai contoh, subsidi minyak hanya boleh diberikan kepada kenderaan yang didaftar dalam kategori B40 sahaja manakala golongan bukan dalam kumpulan B40 dikenakan harga pasaran atau hapuskan subsidi.

Sekiranya subsidi minyak dihapuskan, katanya, golongan yang berhak mendapat subsidi boleh dibantu dari segi lain seperti bantuan kerajaan sama ada dalam bentuk tambahan elaun atau pun bantuan prihatin dan sebagainya.

"Kita di peringkat MPN mencadangkan begitu... dah ada roundtable. Kalau itu dibuat dengan kesungguhan pihak kerajaan maka akan ada penjimatan lebih RM20 billion setahun," katanya.

Beliau berkata, asas kerajaan untuk membuat keputusan berkenaan adalah amat kukuh dan terserah kepada pihak Kementerian Kewangan bagaimana untuk melaksanakannya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau enggan mengulas lanjut dan berkata, keputusan bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:50 PM