LOKASI disyaki menjalankan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi di Taman Lagenda Putra. FOTO ihsan polis
LOKASI disyaki menjalankan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi di Taman Lagenda Putra. FOTO ihsan polis
Izz Laily Hussein


Kulai: Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita kerana disyaki menjalankan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi di kawasan perindustrian Taman Lagenda Putra, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, polis merampas 72,800 liter minyak diesel bersubsidi dianggar bernilai RM174,720.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya bertindak menyerbu lokasi berkenaan berdasarkan maklumat diterima.

"Dalam serbuan itu, warga tempatan berusia antara 28 hingga 52 tahun ditahan dan polis merampas barangan yang digunakan dalam aktiviti ini.

"Mereka disyaki menjalankan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran sah," katanya.

Menurutnya, hasil semakan, semua suspek tidak mempunyai rekod lampau sama ada berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah.

Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (KPDNHEP)," katanya.

Pada masa sama, Beng Yeow meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 07-6637222.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 12:44 PM