LAPORAN Harian Metro baru-baru ini
LAPORAN Harian Metro baru-baru ini
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Lelaki yang melanggar anggota polis hingga koma akan didakwa di Mahkamah Kulim, esok atas enam pertuduhan.

Suspek yang berusia 45 tahun itu akan didakwa kerana cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 186 KK kerana menghalang tugas penjawat awam.

Selain itu, suspek yang turut positif dadah akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki berkenaan yang juga penyeludup minyak turut akan didakwa mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Bagi kesalahan mengubahsuai kenderaan, dia akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian 9.15 pagi Sabtu lalu, suspek pada mulanya melanggar seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mengejarnya di Jalan Kulim-Serdang.

Kejadian menyebabkan Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, yang bertugas di Balai Polis Kulim Hi-Tech parah di kepala dengan mengalami pendarahan dalam otak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu masih belum sedarkan diri namun keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 6:51 PM