Suspek yang melanggar seorang anggota polis. FOTO PDRM
Suspek yang melanggar seorang anggota polis. FOTO PDRM
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Suspek kes seludup minyak yang melanggar anggota polis ketika mengelak daripada ditahan semalam direman selama enam hari, bermula hari ini.

Suspek berusia 45 tahun yang berbaju lokap dilihat tiba di Mahkamah Sesyen Kulim, di sini dengan diiringi anggota polis jam 9 pagi.

Perintah reman terhadap suspek dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Mirza Mohamed selepas mendapat permohonan polis.

Dalam kejadian 9.15 pagi semalam, suspek pada mulanya melanggar seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mengejarnya di Jalan Kulim-Serdang.

Kejadian menyebabkan Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, yang bertugas di Balai Polis Kulih Hi-Tech parah di kepala dengan mengalami pendarahan dalam otak. Suspek kemudian memecut kenderaannya dengan memandu secara melulu sebelum dia berjaya ditahan sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan bantuan anggota IPD Seberang Prai Tengah (SPT), pada jam 12 tengah hari semalam di Butterworth.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu belum sedarkan diri.

"Anggota berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

"Kita turut mengadakan solat hajat buat anggota berkenaan di surau balai polis trafik malam tadi bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan untuk mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita berkaitan

  • Anggota polis parah dilanggar penjenayah
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 2:32 PM