Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


PEMANDU wanita yang merempuh peserta maraton ditahan di Jalan Taman Emas, Kepong, Kuala Lumpur bersama kereta Honda City semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan 11.10 malam oleh pegawai dan anggota polis trafik Ampang.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemui enam bungkusan kecil mengandungi pil eramin 5.

“Ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah methamphetamine dan AMP.

“Suspek yang tidak bekerja mempunyai satu rekod saman kemalangan jalan raya yang masih belum dijelaskan.

“Syarikat sewa kereta juga sudah tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan seorang peserta maraton patah tulang pinggul dan paha kiri selepas dilanggar kereta ketika menyertai satu pertandingan larian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang.

Dalam kejadian 6 pagi itu, seorang lagi peserta berusia 44 tahun turut cedera selepas Honda City melanggar kon laluan peserta larian sebelum merempuh beberapa peserta.

Malah pemandu kereta berkenaan terus melarikan diri manakala peserta yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berita berkaitan

Peserta maraton parah dirempuh pemandu wanita

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 10:01 PM