GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Empat suspek yang terbabit dalam insiden menyebabkan anggota polis maut kemalangan ketika mengejar penjenayah di Kampung Kangkar Tebrau, Ahad lalu, didakwa di mahkamah esok.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan pendakwaan yang dilakukan esok.

"Empat suspek berkenaan akan didakwa pagi esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

"Sekurang-kurangnya tiga pertuduhan akan dikenakan terhadap suspek termasuk Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

"Dua lagi adalah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, kerana menghalang tugas polis.

"Namun tidak semua suspek akan didakwa atas pertuduhan sama kecuali bagi pertuduhan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi Ahad lalu Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas mangsa yang juga pemandu kereta peronda polis (MPV), Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, cedera parah.

Sebelum kejadian, kedua-dua anggota terbabit dilaporkan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Perodua Myvi yang dinaiki penjenayah terbabit bergesel dengan kereta peronda dinaiki anggota dari Balai Polis Bandar Dato' Onn itu berkenaan sebelum ia terbalik dan dilanggar sebuah SUV Perodua Aruz dinaiki orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:32 PM