Antara iklan jualan kenderaan di laman sosial yang menawarkan harga murah.
Antara iklan jualan kenderaan di laman sosial yang menawarkan harga murah.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jual seadanya, tidak boleh tukar nama, pemilik gagal dikesan dan pemilik meninggal dunia.

Itu yang tercatat pada lebih 100 iklan jualan kenderaan murah dikesan di laman Facebook sejak lebih setahun lalu tanpa menyedari statusnya bertukar kepada kereta atau motosikal 'piang'.

Kebanyakannya tidak boleh ditukar hak milik sama ada pemilik asal sudah meninggal dunia atau dijual secara sambung bayar yang salah di sisi peraturan sedia ada.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan Mohammad Hisham Shafie berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu oleh orang ramai yang ingin mengetahui status pembelian dan pemilikan kenderaan terbabit.

Katanya, semakan di Facebook mendapati banyak iklan jualan kenderaan terutama motosikal yang mahu dijual pada harga rendah namun tidak boleh tukar nama pemilik.

"Siapa yang tidak tertarik dengan promosi beli motosikal murah. Tetapi risikonya bila berlaku kejadian tidak diingini, mangsa tidak boleh mendapat pampasan insurans dan sebagainya.

"Ini yang merisaukan kita kerana kebanyakan motosikal ini dijual secara mudah, bayar dan ambil kenderaan tanpa tukar nama.

"Ada juga kes kenderaan ini digunakan untuk aktiviti salah dan akhirnya tidak ada siapa yang dipertanggungjawabkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebahagian besar daripada pengiklan ini juga menjual kenderaan yang mana pemiliknya sudah meninggal dunia menyebabkan proses tukar nama menjadi agak rumit kerana membabitkan saudara mara si mati.

Mohammad Hisham berkata, pihaknya mencadangkan agar iklan di media sosial perlu dikawal pihak berkuasa bagi memastikan ia mengikut saluran undang-undang yang betul dan tidak timbul penganiayaan kepada sesiapa pada masa depan.

"Pemerhatian PPJK mendapati banyak iklan yang menjual motosikal, mungkin kerana ia lebih mudah. Beza harga di pasaran sekitar 40 peratus, jadi kepada yang ingin memiliki motosikal, ia satu tawaran menarik," katanya.

Beliau berkata, selain isu pemilikan, soal keselamatan juga menjadi isu kerana kebanyakan kenderaan yang dijual tidak melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Katanya, motosikal yang dijual murah itu hanya berdasarkan persetujuan antara penjual dan pembeli menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan jualan tanpa mengambil kira risiko.

"Alasannya untuk guna di kebun, pusing-pusing perumahan, tetapi jika berlaku kemalangan, tiada siapa boleh membuat tuntutan. Ini yang menjadi masalah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Zailani Hashim berkata, pembelian seperti itu hanya akan menimbulkan masalah kepada pembeli kerana kenderaan terbabit bukan milik mereka.

Menurutnya, ia akan menimbulkan masalah ketika urusan jual beli terutama membabitkan permohonan pinjaman daripada institusi kewangan.

"Ada yang mengambil kesempatan dengan membeli kenderaan 'piang' ini untuk mengelakkan disaman kerana ia akan sampai kepada penama lain yang mungkin sudah meninggal dunia.

"Selain itu, kita juga maklum mengenai kemungkinan kenderaan ini digunakan untuk tujuan jenayah.

"Jadi saya nasihatkan orang ramai berhati-hati dengan sebarang tawaran jual beli kenderaan pada harga murah seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 2:08 PM