Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Menawarkan kenderaan import terpakai kononnya dari negara jiran pada harga lebih murah berbanding pasaran di media sosial.

Itu taktik digunakan sindiket penipuan penjualan kenderaan secara dalam talian untuk memperdaya mangsa yang mengimpikan memiliki kereta mewah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan peningkatan kes jual beli kenderaan secara dalam talian tahun ini dengan 818 kes sudah direkod setakat Mei lalu yang membabitkan kerugian RM9.7 juta.

Katanya, tahun lalu, sebanyak 1,336 kes direkodkan dengan kerugian RM18,884,583.06, manakala 309 kes (rugi RM4,431,409.55) pada tahun sebelumnya.

"Berdasarkan siasatan, modus operandi sering digunakan adalah mengiklankan kenderaan import terpakai yang kononnya dari Singapura, Thailand, Jepun dan sebagainya di medium media sosial.

"Harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding pasaran semasa.

"Mangsa berminat dengan tawaran itu kemudian akan diminta memasukkan wang ke akaun keldai konon untuk pembayaran wang proses, cukai jalan, geran, kastam dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ramli berkata, selepas wang dimasukkan, kenderaan dijanjikan tidak diterima mangsa.

Justeru, beliau menasihati masyarakat supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian seperti menyemak harga jualan semasa kenderaan terpakai di pasaran.

Selain itu, katanya, pembeli juga boleh hadir secara fizikal ke syarikat jualan kenderaan terpakai untuk melihat sendiri kenderaan yang dijual serta berbincang dengan ejen jualan sah.

"Jangan mudah percaya dengan iklan jualan kenderaan terpakai yang menawarkan harga terlalu murah atau istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan dan sebagainya yang tidak dapat dipastikan kesahihan," katanya.

Beliau juga menyarankan pembeli agar memastikan urusan perjanjian jual beli melalui kaedah yang diperakui supaya tidak menjadi mangsa.

Tambahnya, pembeli juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon terlebih dahulu di portal semakmule untuk mengenal pasti akaun terbabit penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 10:03 PM