ABDULLAH (dua dari kanan) memeriksa  motosikal yang dirampas.
ABDULLAH (dua dari kanan) memeriksa motosikal yang dirampas.
Oleh Azahar Hashim

am@hmetro,com.my

Kulim: Tindakan seorang pemilik bengkel memberi alasan membeli motosikal daripada ejen jualan lelong, mengundang kecurigaan apabila pemeriksaan mendapati 14 motosikal dan tiga komponen enjin itu pernah dilaporkan hilang dalam serbuan di Kampung Padang, Padang Serai, di sini, semalam.

Lebih mengejutkan apabila lelaki berusia 49 tahun berkenaan turut menjadikan tiga rumah di kawasan terbabit sebagai tempat menyimpan motosikal, peralatan serta alat ganti terpakai.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, berdasarkan maklumat polis melakukan pemeriksaan di sebuah kedai menjual alat ganti terpakai motosikal kira-kira jam 2.30 petang dan menemui 14 motosikal dan tiga komponen enjin yang dilaporkan hilang di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Menurutnya, pihaknya turut mendapati ada tiga rumah di kawasan itu dengan sebuah dijadikan bengkel membaiki motosikal dan menjual alat ganti terpakai seperti komponen enjin, manakala sebuah lagi rumah yang terletak di hadapan menjadi tempat menjual pelbagai jenis rim dan tayar.

Katanya, sebuah rumah berkedudukan kira-kira 50 meter di belakang kedai rim dan tayar itu dijadikan tempat simpanan kira-kira 100 motosikal.

“Hasil soal siasat, pemilik kedai terbabit memaklumkan membeli motosikal terbabit daripada ejen yang memperoleh motosikal berkenaan daripada jualan lelong.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen jual beli apabila diminta menyebabkan timbul kecurigaan kerana semua urusan perlu mempunyai dokumen sebelum pemeriksaan lanjut mendapati 14 motosikal dan tiga komponen enjin dipercayai dicuri,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga percaya pemilik bengkel terbabit berkemungkinan memperoleh motosikal terbabit daripada ejen tidak sah berikutan ada antara kenderaan yang disimpan mempunyai rekod laporan kehilangan.

Katanya, berikutan itu lelaki berkenaan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, manakala kesemua 14 motosikal dan tiga komponen enjin turut dirampas.

“Justeru, pihak polis menasihati pemilik bengkel atau barangan terpakai supaya tidak membeli motosikal mahupun komponen tanpa sebarang dokumen jual beli sah kerana ia akan menimbulkan masalah pada masa depan,” katanya.

caption

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad (dua dari kanan) memeriksa beberapa buah motosikal yang di syaki di laporkan hilang selepas merampas dari sebuah kedai menjual barangan terpakai motosikal di Padang Serai,Kulim semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:16 AM