Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh suami isteri.

Tertuduh, Ng Chun Ming, 61, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Chun Ming didakwa menyebabkan kematian abangnya, Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Laluan Bercham Utara 26, Taman Bercham Aman, di sini antara 6.45 petang, 6 Julai 2022 hingga 8.20 pagi7 Julai 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar.

Mahkamah menetapkan 14 September depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan suami isteri ditemui maut di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, dipercayai dibunuh, 7 Julai lalu.

Suspek yang juga ahli keluarga mangsa berjaya ditahan polis di Genting Highlands, Pahang pada 7.45 petang hari kejadian.

NG Chun Ming dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh abang dan kakak iparnya. FOTO L.MANIMARAN
NG Chun Ming dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh abang dan kakak iparnya. FOTO L.MANIMARAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 12:25 PM