Izlaily Nurul Ain Hussein


TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan mengedar methamphetamine lebih dua tan, dua minggu lalu.

Semua tertuduh, Pang Ming Siong, 48; Cheng Foot Leong, 40 dan Tok Chun Whei, 35, hanya mengangguk faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga tertuduh itu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 2,064,274 gram (2,064 kilogram) di Lot 1162, Kolam Ikan JTM 68, Jalan Tanah Merah, Desa Cemerlang di Johor Bahru, 7.30 pagi, 19 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhammad Abd Kadir.

TIGA lelaki, Pang Ming Siong, 48, Cheng Foot Leong, 40 dan Tok Chun Whei, 35, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar methamphetamine lebih dua tan minggu lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TIGA lelaki, Pang Ming Siong, 48, Cheng Foot Leong, 40 dan Tok Chun Whei, 35, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar methamphetamine lebih dua tan minggu lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Mahkamah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 22 Mac lalu, Harian Metro melaporkan sebanyak 2.06 tan syabu yang dianggar bernilai RM103.2 juta menjadi rampasan dadah terbaharu sekali gus yang terbesar dalam sejarah negara.

Syabu yang dibungkus dalam 2,000 paket bungkusan teh Cina itu ditemui dalam kontena yang disimpan di kawasan kolam ternakan ikan dekat ladang kelapa sawit, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini.

Rampasan itu hasil kejayaan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Johor selain kerjasama daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 1:10 PM