Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki berstatus orang pengawasan polis yang melarikan diri di Taman Klebang Putra, Chemor, di sini, dua minggu lalu.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, M Shart Yanantham Naidu, 28, dan G Kesavaraj, 31, didakwa secara bersama sengaja membunuh T Murthi, 37, di Jalan Putra 8C, Taman Klebang Putra, di sini, antara jam 10.40 malam hingga 11.28 malam 30 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sendiri itu memahami pertuduhan yang dibaca dalam Bahasa Melayu namun tiada pengakuan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Jesseca Daimis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azhar dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Sheelan Arjunan.

Jesseca kemudiannya menetapkan tarikh 6 Mac depan untuk kes disebut semula.

Terdahulu, seorang lelaki yang juga penganggur dalam status orang pengawasan polis ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra pada 30 Disember lalu.

M Shart Yanantham dan Kesavaraj dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO L Manimaran
M Shart Yanantham dan Kesavaraj dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO L Manimaran

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata, lelaki itu ditemukan di luar rumah teres satu tingkat yang didiami bersama isteri dengan beberapa kesan kecederaan pada telinga, tangan, kaki dan badan seperti dilanggar oleh kenderaan.

Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang penganggur yang melarikan diri daripada pengawasan polis di Parit Buntar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 12:51 PM