WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Mohd Fadli Hamzah
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Mahkamah Rayuan Paris sudah membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan 'Final Award' yang dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa 28 Februari lalu, berikutan tuntutan oleh pihak yang mendakwa sebagai waris dan 'successors-in-interest' kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, asas kepada keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah 'Final Award' itu akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Katanya, Perintah Penggantungan itu hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bermula daripada tuntutan itu difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

"Kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan semalam (12 Julai), 'Final Award' berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris.

"Pada 11 Julai 2022, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg sudah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan 'Final Award' melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

"Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.

"Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan itu dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, kerajaan Malaysia sudah mengambil tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020.

Selain itu, katanya, permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan 'Partial Award on Jurisdiction' bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr Stampa.

"Berikutan tindakan perundangan yang sudah diambil oleh kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, sudah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk 'Final Award' adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

"Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan Mahkamah di Madrid, sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.

"Pada 29 September 2021, pihak penuntut sudah memperoleh Perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang mengiktiraf Partial Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021, dan dengan itu membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia sudah mencabar Perintah Exequatur yang diperoleh secara ex parte itu dan kerajaan Malaysia sudah berjaya memperoleh Perintah Penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

Ini bermakna, katanya, pihak penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperoleh pada 29 September 2021.

"Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan itu, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur itu berkuat kuasa dan 'Final Award' sudah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, prosiding jenayah terhadap Dr Stampa juga difailkan Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid.

Katanya, prosiding bagi perkara ini masih berjalan.

"Berikutan kejayaan Kerajaan Malaysia mendapatkan Perintah Penggantungan 'Final Award' semalam, kerajaan sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan 'Final Award' yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

"Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan itu dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 7:55 PM