ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas selepas ditipu sebuah agensi pelancongan, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas selepas ditipu sebuah agensi pelancongan, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Jumlah laporan polis berkaitan penipuan pakej haji yang mengakibatkan 380 bakal jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini meningkat kepada 28 laporan berbanding 25 laporan sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, terdapat tiga laporan diterima menjadikan sebanyak 28 laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor setakat ini membabitkan kerugian RM628,000.

"Polis Selangor masih menjalankan siasatan ke atas lima suspek yang ditahan dalam kes ini sehingga tempoh reman mereka tamat esok.

"Seterusnya kita menunggu arahan lanjut daripada pihak Bukit Aman yang menyelaraskan siasatan kes ini, sama ada kesemua suspek akan diserahkan kepada IPK lain atau bagaimana.

"Ini kerana laporan polis berkaitan kes ini oleh mangsa turut dibuat di beberapa negeri berlainan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata, sebanyak 57 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu membabitkan kerugian mencecah RM2.37 juta.

Sebanyak 25 laporan polis diterima di Selangor membabitkan kerugian RM620,000, manakala 23 lagi laporan polis diterima di Kuala Lumpur membabitkan kerugian RM766,500.

Empat lagi laporan polis diterima di negeri Pahang membabitkan kerugian RM874,000 dan masing-masing satu laporan di Pulau Pinang (RM32,000), Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) serta satu laporan di Johor.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, memaklumkan kesemua lima suspek direman tiga hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan kes yang dilaporkan oleh mangsa di Selangor.

Suspek terdiri daripada pemilik sebuah agensi pelancongan dan isterinya, serta seorang ejen dan dua pekerja di pejabat agensi pelancongan yang beroperasi di Danau Kota, Setapak di sini.

Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam di sekitar ibu negara, kelmarin.

Mereka kemudian diserahkan kepada Polis Selangor selepas siasatan oleh Polis Daerah Wangsa Maju membabitkan 23 laporan polis yang diterima di sekitar ibu negara, selesai semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 5:20 PM