ZAHARAH (dua kanan) dan Aminah (tiga kiri) berhari raya bersama mangsa banjir di PPS SMK Jerai, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
ZAHARAH (dua kanan) dan Aminah (tiga kiri) berhari raya bersama mangsa banjir di PPS SMK Jerai, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

Baling: "Perasaan ini jadi takut dan berdebar-debar setiap kali lihat cuaca gelap di langit," kata Zaharah Ismail, 62, salah seorang mangsa tragedi bencana banjir dan kepala air Gunung Inas, Kupang Isnin lalu.

Dia dari Kampung Padang Empang, di sini berkata, selepas kejadian itu dia menjadi trauma dan takut untuk pulang ke rumahnya.

"Mana tidak takutnya... kejadian malam itu macam mati hidup semula ketika berada dalam rumah tiba-tiba air melimpah masuk dengan deras dan membadai pintu sehingga pecah.

"Kami empat beranak tidak boleh keluar lalu memanjat naik melalui siling hingga berada atas bumbung rumah sambil menjerit meminta tolong," katanya ketika ditemui menyambut hari raya Aidiladha bersama 71 mangsa lain di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsan Jerai, hari ini.

Zaharah berkata, selama tujuh hari berada di PPS keinginan pulang ke rumah tidak ada lagi dalam hatinya kerana takut ia berlaku lagi.

"Hayat usia mak cik inilah kali pertama tragedi paling buruk... sepanjang hidup tak pernah naik atas bumbung rumah. Sebab itu apabila tengok cuaca gelap hati rasa berdebar-debar kerana kejadian berlaku di depan mata.

"Tidak ingat sudah tiba hari raya kerana memikirkan masa depan untuk hidup normal seperti dulu. Hari-hari memikirkan di mana nak tinggal adakah keadaan selamat untuk pulang.

"Sekiranya keadaan betul-betul selamat dan rumah bersih dan selesa kami akan pulang walaupun dalam hati Allah sahaja yang tahu," katanya.

Zaharah berkata dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, menjaga dan memberi layanan baik termasuk rawatan kesihatan ketika berada di PPS

Seorang lagi mangsa banjir yang menyambut hari raya di PPS, Aminah Che Meh, 46, berkata perasaannya sedih kerana tidak dapat berhari raya di rumah sendiri kali ini.

"Tidak pernah berhari raya dalam suasana begini namun tetap bersabar kerana apa yang berlaku ujian Allah.

"Apa yang penting kami semua selamat... raya di sini ada semua lemang, ketupat, rendang dan kuih muih kerana ramai menghulurkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 2:51 PM