Tumpat: Hampir putus asa apabila perniagaan serunding diusahakan sejak 30 tahun lalu musnah dalam banjir lalu, Zaharah Yusof, 68, kini lega apabila ditawar bantuan pelbagai agensi.

Zaharah dari Kampung Laut di sini ditawar geran pembangunan semula perusahaan kecil dan sederhana (PKS) maksimum bernilai RM20,000 daripada SME Corp Malaysia.

Malah Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) turut menawarkan pinjaman mudah RM50,000 sehingga RM100,000 kepada usahawan PKS seperti Zaharah yang terjejas dengan bencana baru-baru ini.

Zaharah berkata, dia gembira apabila pelbagai agensi memberi kemudahan kepada golongan sepertinya membangunkan semula perniagaan.

“Alhamdulillah, bantuan kecemasan ini sedikit sebanyak dapat bantu meringankan beban mak cik bagi membaik pulih bangsal serta membeli peralatan baharu untuk membuat serunding.

“Mungkin dalam beberapa hari lagi, mak cik boleh mula membuat serunding semula selepas semuanya selesai dibaiki. Serunding ini akan dijual di Pasar Besar Siti Khadijah Kota Bharu nanti,” katanya ketika ditemui.

Mengenang peristiwa banjir lalu, ibu sembilan anak itu memberitahu mengalami kerugian lebih RM3,000 apabila peralatan membuat serunding musnah dan ada ‘ghaib’ dihanyutkan air bah.

Katanya, kini dua bulan sudah tidak membuat serunding selepas bangsalnya turut rosak yang membawa kerugian ribuan ringgit.

“Perniagaan iini adalah sesuatu yang sangat berharga buat mak cik bagi meneruskan legasi nenek moyang dalam membuat serunding.

“Bagi orang lain mungkin tidak bermakna, namun bagi mak cik, ia adalah satu kehilangan yang besar dalam diri mak cik selepas mendapati semua peralatan serunding rosak.

“Mak cik akan tetap usahakan sehingga boleh berniaga semula kerana inilah pendapatan kami sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:26 AM