GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Islam serta tohmahan terhadap PDRM.

Ia susulan satu laporan polis dibuat pada 9.45 pagi hari ini oleh seorang pengadu yang melayari Internet dan terlihat satu video dimuat naik berunsur penghinaan terhadap agama Islam dan tohmahan terhadap PDRM dari pemilik akaun Facebook GANESPARANnadaraja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK) atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Menurutnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 504 KK kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

"Hasil semakan mendapati video berkenaan dimuat naik pada 23 Mac lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, setakat ini terdapat 21 kertas siasatan dibuka terhadap individu berkenaan yang dipercayai berada di Hamburg, Jerman.

"Pemeriksaan mendapati dia kali terakhir keluar dari negara ini pada 2 November 2017.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya.

Dalam video terbabit, lelaki terbabit didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina agama dan PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 11:33 PM