AHMAD Zahid. FOTO Hairul Anuar Rahim.
AHMAD Zahid. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tidak menjejaskan kekuatan jentera akar umbi. Itu pandangan pemerhati politik berhubung isu kepimpinan Umno susulan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media semalam.

Ini kerana ia berdasarkan situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini yang mencatatkan kemenangan biarpun terdapat usaha mengaitkan parti dengan isu kepimpinan menjadi bahan sepanjang kempen.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, antara yang mungkin berlaku adalah 'perang saudara' dan ada pembentukan kem baharu terutamanya untuk pemilihan parti selepas ini.

Katanya, secara umum, sudah tentu isu yang dibangkitkan ahli politik veteran itu akan dieksploitasi pembangkang dan ia sedikit sebanyak menjejaskan Umno di mata pengundi umum.

"Tapi ia tidak akan jejaskan kekuatan akar umbi parti seperti mana lazimnya kerana Umno, parti akar umbi yang mantap.

"Tapi tak perlu nak desak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur. Yang perlu ialah desak supaya beliau buat pemilihan Umno, itu saja. Ini kerana mandat pun sudah habis dan pemilihan memang patut dibuat tapi ditangguh.

"Kalau buat pemilihan ia lebih baik sebab presiden boleh meletakkan nasibnya di tangan akar umbi dan mereka yang tak bersetuju boleh suarakan perkara itu menggunakan saluran yang betul," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Tajuddin yang digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum ini, mengadakan sidang media dan mendedahkan apa yang berlaku sepanjang kepimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno.

Ia termasuk dakwaan bahawa beliau dipaksa menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Mujibu berkata, ramai yang melihat isu berkenaan adalah peribadi namun menggambarkan apa yang berlaku dalam Umno secara keseluruhan.

Beliau berkata, yang pasti ia bertitik tolak daripada perkiraan semasa yang menjangkakan Umno bakal kembali ke puncak kuasa dan pengukuhan pengaruh dalam parti sangat penting.

"Soalnya yang paling penting bagaimana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberikan reaksi kepada pendedahan itu, apakah beliau akan memperkukuhkan kedudukannya dengan bergabung bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pemilihan akan datang atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 4:58 PM