Oleh Yusmizal Dolah Aling

 

Kuala Lumpur: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau berpuas hati dengan keadaan UMNO di akar umbi berdasarkan pengamatannya merasmikan dua persidangan perwakilan UMNO di Johor, semalam.

Katanya, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memecah belahkan parti sebaliknya mahukan ahli parti terus bersatu hati adalah satu faktor mereka dapat menerima perubahan dengan tenang.

"Saya juga berterima kasih dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menghargai Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa menunjukkan kepimpinan ketika kita diasak kiri dan kanan yang akhirnya menyelamatkan kita kerana perkara seperti ini termpaksa dihadapi pemimpin sebelum ini.

"Semalam saya di Johor dan hari ini di bahagian Batu, saya puas hati dan lega dengan apa yang ditunjukkan di akar umbi kerana kita kena ingatkan supaya mereka insaf dan sedar bahawa perjuangan kita sentiasa 'evergreen' dan cara menyelesaikan isu semasa memerlukan kebijaksanaan dan caranya tersendiri mengikut keadaan kawasan masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, ahli UMNO perlu belajar daripada krisis sebelum ini dan tidak boleh mengambil tindakan melulu sebaliknya perlu memastikan keadaan reda sebelum memberi penjelasan kepada ahli di peringkat akar umbi.15

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 1:11 PM