Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa peniaga termasuk yang menjual makanan bermasak mengenakan harga munasabah selaras harga barangan asas yang kini semakin stabil hasil intervensi kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, kenaikan harga barangan asas yang bersifat sementara sebelum ini tidak wajar diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga makanan secara kekal dan membebankan pengguna.

Beliau berkata, penurunan harga makanan dilihat perlu dibuat selaras dengan harga barangan yang semakin stabil hasil intervensi dan langkah penyelesaian diambil kerajaan dalam mengatasi isu kenaikan harga bahan mentah sebelum ini.

Katanya, harga ayam, minyak masak dan barangan keperluan lain kini stabil menerusi pemberian subsidi dan penetapan harga siling, malah usaha kerajaan menerusi program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dengan menawarkan harga barangan sehingga 20 peratus lebih rendah dari pasaran semasa turut memanfaatkan peniaga makanan.

"Kita memandang serius isu ini yang mana sering kali berlaku apabila harga barangan mentah naik, harga makanan dinaikkan, tetapi apabila turun (bahan mentah), makanan bermasak yang dinaikkan harga sebelum itu tidak turun.

"(Sebagai contoh), dahulu bila harga ayam naik, harga makanan pun naik daripada RM8 jadi RM12 tetapi sekarang harga ayam sudah turun tetapi kita perhatikan harga makanan tak turun.

"Jadi ini masalah dan kita sentiasa memikirkan cara untuk atasi isu ini sebab kita tak boleh nak kawal harga makanan bermasak ini sebab ia bukan barang kawalan.

"Dalam hal ini, ada pegawai kita yang sentiasa turun padang buat pemeriksaan, termasuk melakukan penyamaran untuk memantau isu berkaitan kepenggunaan termasuk membabitkan harga makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu (PPSNT) Tahun 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu merangkap Penasihat PPSNT Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Rosol berkata, walaupun kerajaan tidak boleh mengawal harga makanan yang sudah dimasak tetapi tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) boleh diambil sekiranya terdapat aduan dan peniaga terbukti cuba mengaut untung berlebihan.

Katanya, terdapat beberapa faktor diambil kira terhadap peniaga atau premis yang dilaporkan meletakkan harga yang tidak munasabah.

"Jadi kita harap semua peniaga dapat terus berperanan dalam mengawal inflasi dengan tidak mencatut dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa alasan yang munasabah.

"Pengguna juga boleh mainkan peranan dengan salurkan aduan ke saluran rasmi KPDNHEP sekiranya ada peniaga didapati cuba mencatut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 4:47 PM