ALEXANDER (tengah) mendekati peniaga di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya ketika Ops Pantau 2022, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
ALEXANDER (tengah) mendekati peniaga di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya ketika Ops Pantau 2022, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Tiada keperluan untuk peniaga menaikkan harga khususnya membabitkan juadah berbuka puasa serta kuih muih dan juadah Aidilfitri.

Ia memandangkan kebanyakan harga barang mentah bagi keperluan buka puasa dan hari raya sudah dikawal oleh kerajaan melalui Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia sehingga 5 Jun nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, barangan itu termasuk ayam, telur ayam, minyak masak sawit tulen, tepung gandum kegunaan am dan gula selain gas LPG untuk memasak, RON95 serta Diesel untuk pengangkutan.

"Bagi kami, tiada keperluan untuk menaikkan harga kerana kebanyakan bahan mentah tidak naik harga.

"Justeru, kami mengharapkan kerjasama daripada peniaga supaya meletakkan harga munasabah sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti," katanya pada sidang media selepas 'walkabout' di Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3, di sini hari ini.

Alexander berkata, sebanyak 7,106 premis diperiksa pihaknya menerusi Ops Pantau di seluruh negara, kelmarin dan semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes dihasilkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempamerkan tanda harga dengan nilai kompaun berjumlah RM4,200.

"Kira-kira 2,200 pegawai penguat kuasa KPDNHEP dibantu lebih 1,000 pegawai pemantau harga akan 'turun padang' di seluruh negara bagi memastikan harga juadah di bazar Ramadan terkawal serta tidak membebankan pengguna," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan harga juadah dan barangan yang dijual pada harga munasabah.

"Pada masa sama, pengguna juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan kenaikan harga bahan mentah yang tinggi menyebabkan rata-rata peniaga bazar Ramadan tahun ini tiada pilihan selain menetapkan harga baharu untuk jualan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 8:14 PM