KEDAI makanan di medan selera ibu kota, Kuala Kumpur, pada hari kedua susulan kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam. FOTO Nur Elysa Amirah Suhaimi
KEDAI makanan di medan selera ibu kota, Kuala Kumpur, pada hari kedua susulan kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam. FOTO Nur Elysa Amirah Suhaimi
Nur Elysa Amirah Suhaimi dan Suhanna Iskandar

Kuala Lumpur: "Kami akan ikut harga pasaran ayam, kalau harga ayam naik, kami akan naikkan harga tapi kalau harga turun, kami konsistenkan harga asal."

Begitu kata peniaga makanan di ibu kota, Maimin Abdullah, 47, berhubung harga makanan berasaskan ayam di premisnya apabila subsidi dan harga kawalan ayam ditamatkan, semalam.

Maimin berkata, peniaga sebenarnya turut terkesan dengan kos apabila hampir semua barangan keperluan lain termasuk gula, garam dan telur mengalami kenaikan harga.

Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung menyukarkannya untuk menurunkan harga makanan, tetapi akan berusaha memastikan harga yang dijual adalah munasabah.

"Kami hanya peniaga kecil dan keuntungan kami pun dari harga makanan itu sendiri. Kalau kami turunkan harga, hanya dapat pulangan modal, bagaimana kami boleh meneruskan perniagaan pada hari seterusnya," katanya.

Peniaga ayam gunting yang mahu dikenali sebagai Laila, 33, berkata dia pernah menaikkan harga ayam gunting jualannya sehingga RM9 kerana kenaikkan harga ayam di pasaran.

"Contohnya, jika harga ayam naik 10 peratus, kami pun naikkan juga harga 10 peratus bergantung kepada kenaikan dan penurunan harga pasaran ayam itu.

"Pada 2021, kami pernah menjual sehingga RM9 untuk ayam gunting kerana bekalan ayam mentah tidak cukup," katanya.

Manakala, peniaga makanan Asmawati Shawari berkata, harga makanan yang dijual di premisnya masih sama dan tiada kenaikan.

"Saya akan mengambil masa lebih kurang seminggu untuk membuat keputusan sama ada harga makanan yang dijual naik atau tidak. Tidak dinafikan, pelanggan pasti mengeluh, tetapi saya sebagai peniaga juga tidak boleh berbuat apa-apa.

"Kita terpaksa mengikut situasi semasa dan sekiranya harga ayam mentah naik, anggaran kenaikan harga makanan yang saya jual juga naik dalam 50 sen," katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Harun Muhammad, 65, berkata kenaikan harga bahan mentah termasuk ayam memberi kesan kepada peniaga.

"Kami sebagai peniaga merasa bersalah untuk menaikkan harga makanan tetapi keuntungan kami juga akan kurang.

"Mereka (pelanggan) pastinya sudah mempunyai bajet untuk makan di luar dan rata-rata adalah anak muda yang bekerja di pasar raya berdekatan.

"Saya tiada jangkaan mengenai kenaikan harga ayam mentah kerana situasi sekarang juga tidak menentu," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, peniaga tidak akan menaikkan harga makanan secara drastik kerana simpati dengan pelanggan terutama pelanggan tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 4:13 PM