Asam Pedas.
Asam Pedas.
BERNAMA

Melaka: Golongan peniaga di negeri ini melahirkan rasa lega dengan keputusan kerajaan membenarkan kenaikan harga jualan makanan ekoran peningkatan harga barangan mentah, dengan syarat tiada sebarang unsur mencatut.

Peniaga asam pedas di Kamponk Avenue, Dataran Pahlawan di Bandar Hilir di sini, Julaiha Baharin, 42, berkata, dia terpaksa menaikkan harga menu asam pedas ekoran harga ikan seperti mabong, kembong dan siakap meningkat sehingga membebankannya.

Dia yang baru empat bulan berniaga di medan selera pusat beli-belah itu berkata bagaimanapun, kenaikan harga jualan itu hanya sekitar RM2 hingga RM3, dan keuntungan yang diperoleh hanya mampu menampung kos operasi perniagaannya seperti sewa kedai sebanyak RM1,600 sebulan, bil air, elektrik dan gas.

"Saya tiada pilihan terpaksa juga menaikkan harga asam pedas kerana harga bahan mentah terutama ikan meningkat hampir sekali ganda. Sebagai contoh, harga ikan mabong sebelum ini RM12 sekilogram tetapi kini mencecah RM22 sekilogram.

"Jadi set menu asam pedas ikan mabong terpaksa saya naikkan daripada RM10 kepada RM12, itupun saya terpaksa fikirkan pelanggan kerana tidak mahu membebankan mereka dan akhirnya membuatkan saya hilang pelanggan," katanya.

Peniaga nasi campur di Jalan Plaza Mahkota di sini, Husni Azmi, 46, pula berkata kenaikan harga jualan makanan khususnya melibatkan menu ayam dan ikan hanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja.

Dia yang sudah berniaga lebih 10 tahun di kawasan tumpuan pelancong itu berkata tidak berani untuk menaikkan harga berlebihan, walaupun secara kasarnya keuntungan yang diperoleh masih rendah.

"Kami sebagai peniaga pun tersepit, apabila harga bahan mentah naik, kita tidak boleh naikkan harga jualan sesuka hati kerana selain hilang pelanggan, ada pihak berkuasa yang akan turun pantau harga makanan. Itu belum lagi pelanggan buat aduan kata harga makanan mahal sedangkan harga barang mentah yang kami beli pun dah semakin meningkat," katanya.

Husni berharap kerajaan dapat terus mengawal kenaikan harga barang mentah agar tidak terus meningkat sehingga membebankan peniaga.

Sementara itu, Ismail Jamaludin, 40, dari Klebang di sini berkata peniaga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya jika menaikkan harga jualan mereka kerana banyak pihak terbabit dalam rantaian jualan bahan mentah.

"Siapa yang pergi ke pasar pasti tahu dan perasan kenaikan mendadak harga barangan mentah seperti ikan, ayam, sayur dan telur. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli makanan yang dijual sekiranya harga tersebut mahal sebaliknya masak sendiri di rumah kerana ia mungkin lebih jimat," kata pekerja swasta dalam sektor hospitaliti itu.

Kelmarin media melaporkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata susulan harga barangan mentah yang semakin meningkat, peniaga makanan dibenarkan menaikkan harga jualan dengan syarat tiada unsur pencatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:01 AM