Zafrul.
Zafrul.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah memperuntukkan bantuan tunai mencecah RM8 bilion tahun ini, tertinggi dalam sejarah bagi manfaat 12.6 juta rakyat negara ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan tunai melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) itu juga sudah ditambah baik dengan tambahan bernilai RM630 juta bagi BKM Fasa 2 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM8.0 bilion.

Katanya, setakat ini, 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada 2022.

"BKM adalah bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480). Ini adalah peningkatan bantuan sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di samping itu, beliau berkata, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja.

Katanya, peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.

"Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.

"Lazimnya, BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya BKM kini memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan dengan 60 peratus daripada rakyat dewasa di Malaysia.

"Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.

"Kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan yakinlah bahawa dasar kerajaan, baik dari segi bantuan langsung mahupun yang tidak langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela," katanya.

Sementara itu, BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion akan memanfaatkan 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai hari ini.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 27 Jun 2022 juga melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 11:39 AM