MOHD Shahar ketika menghadiri persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
MOHD Shahar ketika menghadiri persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan melanjutkan tempoh penunaian bagi bantuan-bantuan khas sehingga 31 Januari depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, ia adalah bagi penerima bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang terkesan akibat banjir.

"Bantuan-bantuan melalui kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) ini sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2021," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad yang ingin tahu usaha kementerian bagi memudah cara agihan bantuan-bantuan khas yang diberikan kepada rakyat agar tiada keciciran bantuan pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata, bantuan tunai langsung kerajaan tahun ini berjumlah RM17.1 bilion dan disalurkan secara berterusan mulai Januari hingga Disember ini yang membabitkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), BPR, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

"Paling terkini adalah pembayaran BKC Fasa 3 mulai 20 Disember 2021 yang membabitkan 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40 dengan nilai bantuan sebanyak RM300 dan implikasi kewangan berjumlah RM1.2 bilion," katanya.

Bagi tahun hadapan, beliau berkata, kerajaan menyediakan bantuan tunai B40 dengan peruntukan RM8.2 bilion bagi BKM yang disediakan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 (KWC).

"Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 12:52 PM