Maka wang tunai di tangan pada ketika ini dapat digunakan untuk pelbagai tujuan meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.FOTO HIASAN
Maka wang tunai di tangan pada ketika ini dapat digunakan untuk pelbagai tujuan meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.FOTO HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Menyedari hakikat rakyat memerlukan wang tunai untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam fasa pasca pandemik, kerajaan mula mewujudkan pelbagai inisiatif dan kemudahan untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat.

Persetujuan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara berperingkat mulai 28 Mac yang lalu, penetapan gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei nanti serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam dilihat antara insentif dan kemudahan berbentuk durian runtuh yang boleh meringankan beban kewangan rakyat selain membantu memacu ekonomi serta perniagaan domestik yang cuba bangkit semula selepas pandemik.

Pengeluaran khas KWSP, misalnya adalah tambahan kepada siri pengeluaran yang telah dibenarkan sebelum ini melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Kerajaan pula menyediakan peruntukan berjumlah hampir RM2 bilion untuk membantu sejumlah 8.6 juta penerima BKM yang akan mendapat bayaran RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima merangkumi empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang. BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan kerajaan pada dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan rakyat berpendapatan rendah (B40).

Hakikatnya pada ketika ini rakyat sangat memerlukan wang tunai di tangan untuk menampung perbelanjaan harian dan juga untuk bangkit daripada ketidaktentuan ekonomi diri dan keluarga berpunca daripada krisis ekonomi serta kesihatan yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Justeru, semua durian runtuh ini dilihat hadir tepat pada masanya untuk merancakkan semula ekonomi serta kuasa beli rakyat sekali gus memacu ekonomi negara. Secara umumnya, kita menjangkakan ekonomi rakyat dan negara akan lebih memberangsangkan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April lalu disebabkan pelbagai kelonggaran yang diumumkan seperti pembukaan sempadan negara dan pemansuhan had operasi bagi premis perniagaan.

Contohnya, aktiviti ekonomi khususnya membabitkan sektor pelancongan merangkumi pengusaha hotel dan resort, industri penerbangan, operator pusat pelancongan serta peniaga cenderamata dan kraf tangan sudah mula menampakkan proses pemulihan dan dijangka kembali ke tahap prestasi yang normal tidak lama lagi.

Maka wang tunai di tangan pada ketika ini dapat digunakan untuk pelbagai tujuan meningkatkan ekonomi diri dan keluarga. Misalnya, wang tunai itu boleh digunakan sebagai modal untuk sama ada memulakan perniagaan baharu atau meningkatkan kadar pusingan modal perniagaan sedia ada bagi memacu pendapatan masing-masing.

Selain itu, wang tunai itu juga boleh digunakan untuk membayar hutang di samping menampung perbelanjaan harian bagi individu yang hilang pendapatan serta masih mencari pekerjaan. Malah, wang tunai ini juga boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak serta perbelanjaan sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri kelak.

Ironinya, banyak yang boleh dibuat dengan nilai RM10,000 mahupun dengan BKM yang akan diterima secara berperingkat di samping gaji minimum yang akan membolehkan pekerja menikmati pendapatan secara tetap pada kadar yang lebih baik.

Justeru, apa yang penting sekarang ialah bagaimana rakyat bijak menguruskan penggunaan semua insentif tunai yang telah dan akan terima nanti.

Secara prinsipnya, kita tidak mahu ada yang gelap mata dan berjoli sakan hingga leka dan lupa matlamat asal pengeluaran KWSP dan juga insentif BKM yang disalurkan.

Oleh itu, anggota masyarakat perlu membuat perancangan yang rapi agar wang tunai yang diterima ini dapat dibelanjakan secara berhati-hati dan berhemat apatah lagi KWSP, misalnya adalah daripada dana persaraan kita sendiri.

Justeru dalam membuat perancangan perbelanjaan kita perlu mengutamakan aspek keperluan daripada kehendak iaitu berbelanja ke arah tujuan yang sangat mendesak di samping dijadikan modal untuk menjana pendapatan berpanjangan dan tidak berfokus kepada urus niaga berbentuk belanja hangus.

Perlu diingat kemudahan pengeluaran khas KWSP seperti ini tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berterusan kerana akan mengganggu tabungan hari persaraan kita kelak. Jadi, pengeluaran kali ini perlu digunakan sepenuhnya untuk memacu pendapatan berterusan sekurang-kurangnya untuk satu jangka masa yang bersesuaian agar kita dapat keluar daripada cengkaman ekonomi dan kesempitan hidup.

Pada dasarnya, kerajaan dilihat sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengawal kos sara hidup dan mengurangkan beban kewangan rakyat di samping memacu ekonomi negara terutamanya melalui saluran bantuan kewangan serta penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, maka kini terpulang kepada kita bagaimana untuk merebut peluang yang disediakan itu agar tidak terus ketinggalan. Kita boleh saja menggunakan semua wang tunai yang ada secara sekali gus untuk sesuatu tujuan tertentu ataupun menyusun strategi untuk menjana pendapatan baharu menggunakan wang tunai yang ada. Jelas, pilihan adalah di tangan kita sendiri.

Jujurnya, kita tidak boleh terus meratapi nasib yang menimpa diri dan keluarga sejak dua tahun lalu mahupun terus menyalahkan virus Covid-19, sebaliknya sudah tiba masa untuk bangkit memulakan kehidupan baharu sebagai persediaan memasuki fasa endemik kelak. Terimalah hakikat kita perlu hidup dengan virus ini, justeru perlu bijak menggunakan segala bantuan dan kemudahan yang disediakan supaya dapat meringankan beban kewangan sekali gus dapat memacu kesejahteraan diri serta keluarga.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:00 AM