Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pembayaran fasa satu Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bernilai hampir RM2 bilion akan diagihkan secara berperingkat mulai 28 Mac ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran BKM itu membabitkan 8.6 juta penerima.

Beliau berkata, penerima BKM itu akan mendapat bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima merangkumi 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.

"BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.

"Pembayaran BKM ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut Ramadan 1443 Hijrah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, penerima BKM untuk isi rumah, warga emas dan individu bujang dibayar pada 28 Mac hingga 8 April ini yang akan terus dikreditkan ke akaun bank masing-masing.

Beliau berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, tarikh pembayaran pada 30 Mac ini melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya, untuk kategori itu, BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

"Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei tahun ini untuk tempoh sebulan.

"Proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 5:31 PM