GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) ditambah baik dengan kumpulan yang terkesan termasuk golongan bujang diberi lebih tumpuan dan menerima bantuan itu dengan nilai keseluruhan RM8.2 bilion.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, 4.8 juta penerima kategori bujang adalah antara 9.6 juta penerima yang layak.

Menurutnya, golongan bujang berpendapatan bawah RM2,500 akan menerima RM350.

"Berdasarkan cadangan yang diterima dari rakyat melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat, pembaharuan ini termasuk bayaran sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

"Pemberian bantuan ini adalah peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini," katanya.

Menurutnya, bagi ibu tunggal dalam menyara anak selain warga emas B40 yang kekurangan simpanan persaraan dan tiada sumber pendapatan tetap, kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

"Bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

"Secara keseluruhan, BKM pada tahun 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR pada tahun 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 7:25 PM