PATI warga Myanmar yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Ihsan ATM
PATI warga Myanmar yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


Bukit Kayu Hitam: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua Pati itu ditahan pada 5.45 pagi ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah yang dalam Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

"Pasukan Serang dan Tangkap (Serkap) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang bersembunyi berhampiran laluan jalan tidak berturap dalam kebun getah.

"Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua 47 Pati terbabit. Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati Pati terbabit masuk melalui pagar sempadan yang dirosakkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, Pati warga Myanmar berusia antara 15 hingga 49 tahun terbabit terdiri daripada 40 lelaki dan tujuh perempuan.

Katanya, Turut dirampas 34 telefon bimbit dan mata wang tunai Thailand, Myanmar dan China dengan anggaran nilai keseluruhan RM27,608.

"Pati diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 10:02 AM