GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Pengarahnya, Rosli Husain berkata, susulan itu pihaknya kini sedang meneliti maklumat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM Kelantan ada menerima maklumat dan sedang meneliti bagi melihat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan mengatakan berlaku pencerobohan balak di HSK Nenggiri.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di HSK Nenggiri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, laporan itu dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun lalu.

Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa sebelum ini mendedahkan berlaku pembalakan di beberapa kawasan termasuk kompartmen 26, 29 dan 41 di HSK Nenggiri.

Husam mendakwa, keluasan hutan simpan kekal yang diceroboh di kawasan terbabit seluas 80 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 1:32 PM