Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membina galeri mini artifak dan warisan Orang Asli Nenggiri yang terletak di pekan Gua Musang bagi menempatkan bahan arkeologi susulan pengambilan kawasan bagi Projek Hidroelektrik Nenggiri.

Pengurus Besar TNB (Kelantan & Terengganu) Mustaphakamal Yaacob berkata, galeri mini berkenaan dijangka siap pada tahun 2027 dan kerja-kerja ekskavasi sudah pun bermula sejak Mac lalu yang dijangka mengambil masa selama dua tahun.

Menurutnya, artifak itu akan diletakkan di tempat simpanan sementara di Gua Musang sebelum dipindahkan ke galeri mini yang bakal dibina nanti.

"Terdapat 13 gua di kawasan tapak projek berkenaan yang berpotensi sebagai tapak warisan dan berkemungkinan mempunyai bahan-bahan arkeologi dan lapan daripadanya akan ditenggelamkan untuk membina tasik takungan utama bagi pelaksanaan Projek Hidroelektrik Nenggiri.

"Oleh itu, TNB mengambil inisiatif untuk pemeliharaan warisan ini berdasarkan syarat ditetapkan Jabatan Warisan Negara (JWN)," katanya kepada pemberita ketika Taklimat Kepada Media Mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di Hotel Perdana, semalam.

PEMANDANGAN udara kawasan empangan Projek Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMANDANGAN udara kawasan empangan Projek Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam perkembangan sama, Mustaphakamal berkata, pihaknya turut menyediakan Pelan Pengurusan Hidupan Liar bagi meminimumkan konflik manusia dengan hidupan liar dan ia sudah diluluskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Januari 2018.

"Pihak pelaksana projek akan bekerjasama dengan Perhilitan untuk melaksanakan pelan berkenaan. Antara langkah mitigasi yang diambil adalah penyediaan kawasan padang ragut serta jenut yang baru di kawasan sesuai sebelum tasik ditakung.

"Selain itu, kerja-kerja pembersihan kawasan tasik akan dilakukan secara berperingkat supaya haiwan liar dapat berpindah ke kawasan lain khususnya ke kawasan padang ragut yang baharu," katanya.

Katanya, Projek Hidroelektrik Nenggiri adalah sebahagian usaha TNB membantu kerajaan negeri untuk mengatasi masalah banjir di Kelantan kerana Empangan Nenggiri boleh menjadi alat takungan air dan tebatan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 11:38 AM