HUSAM. FOTO Arkib NSTP
HUSAM. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Pengerusi Save Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa hantaran beliau di laman sosial Facebook berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang bukan memfitnah syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata, beliau akan bertanggungjawab terhadap dakwaan dan pertanyaan berkaitan kes kecurian balak di kawasan berkenaan termasuk dua laporan yang dirujuk oleh syarikat itu.

"Insya-Allah saya tidak akan berganjak dalam usaha menjaga kepentingan rakyat Kelantan dan akan memastikan semua pihak yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

"Saya tegaskan sepanjang tulisan saya yang dirujuk dalam saman berkenaan sama sekali tidak bersifat fitnah ke atas plaintif," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Husam berkata, beliau hanya menerima writ saman dari Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar yang mewakili pemilik syarikat itu Mohd Haffiz Mohd Rasdin, petang semalam melalui serahan tangan kepada pembantu rumahnya.

Menurutnya, berikutan itu beliau sudah mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman itu kerana menyalahgunakan proses mahkamah dan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang berhubung kes kecurian balak di kompartmen 25 HSK Nenggiri.

"Tindakan saman ini adalah pramatang memandangkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu tebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan kompartmen 26 HSK Nenggiri bersebelahan dengan kawasan kerja plaintif belum lagi konklusif.

"Saman ini boleh disifatkan menggantung diri sendiri oleh plaintif dan boleh menjadi pisau dua mata.

"Sehingga ini, tiada sebarang kenyataan penafian oleh kerajaan negeri atau agensinya mengenai pemberian kontrak pembalakan dan perlombongan dimana plaintif mempunyai kepentingan atau mendapat manfaat," katanya.

Terdahulu, Al Dar Resources dan pemilikya memfailkan dua saman terhadap Husam yang menuntut ganti rugi RM60 juta atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di HSK Nenggiri, Gua Musang.

Dua saman itu dibuat oleh Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta dan pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz Mohd Rasdin yang menuntut ganti rugi RM10 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 2:41 PM