GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes pencerobohan balak yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laporan polis terbabit dibuat pengawas hutan.

"Saya sahkan terima laporan yang dibuat pengawas hutan pada 2 Jun lalu dan siasatan berhubung dakwaan berkenaan akan dibuat oleh Jabatan Perhutanan," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa memuat naik salinan laporan polis yang dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun jam 1.22 pagi berhubung kejadian itu.

Menerusi laporan polis berkenaan, pengawas hutan terbabit sudah pergi ke kompartmen 25 dan 26 HSK Nenggiri untuk menjalankan risikan bagi mengesahkan aduan penebangan haram.

Hasil risikan yang dijalankan mendapati terdapat kerja-kerja penebangan pokok dalam kawasan yang disyaki.

Susulan itu, Husam mencadangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan bagi melihat kawasan terbabit.

"Menteri Besar Kelantan berada di Kampung Star, Nenggiri, Gua Musang pagi ini sempena majlis pecah tanah Empangan Hidroelektrik Nenggiri. Saya cadangkan Menteri Besar masuk sekejap ke lokasi kecurian balak di HSK Nenggiri, selepas selesai majlis pecah tanah.

"Alang-alang dah berada di sana, tunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap harta dan khazanah rakyat dan negeri Kelantan. Tiada pilih kasih dalam menegakkan undang-undang, sepatutnya.

"Cemarkan diri sekejap, masuk dan tinjau sendiri. Ada atau tidak kecurian balak besar-besaran di sana," katanya yang memuat naik status di Facebook.

Husam sebelum ini membuat beberapa pendedahan mengatakan berlaku pembalakan di beberapa kawasan termasuk kompartmen 26, 29 dan 41 di HSK Nenggiri.

Beliau mendakwa, keluasan hutan simpan kekal yang diceroboh di kawasan terbabit seluas 80 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 6:04 PM