Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang nenek sudah tidak sanggup menanggung derita apabila rumahnya di Kampung Semarak, Rahang, di sini, dinaiki air buat tiga kali dalam tempoh enam bulan.

Terbaru, rumah Aini Amat, 63, yang didiami sejak 50 tahun lalu ditenggelami air setinggi 0.7 meter dalam banjir kilat kira-kira 3 petang semalam menyebabkan perabot dan barang rosak.

Aini berkata, kesan banjir kilat pada November dan Mei lalu masih berbekas dan belum dibaik pulih sepenuhnya, namun terpaksa pula berhadapan dengan dugaan baru.

"Saya sudah penat untuk mengemas rumah setiap kali banjir. Saya dan cucu seolah-olah fobia setiap kali hujan lebat kerana air naik dengan cepa.

"Perabot dan barangan dalam rumah ini semuanya pemberian individu dan badan (NGO) kerana banyak barang rosak dalam banjir pada November lalu. Kini tiada apa lagi yang tinggal," katanya.

Katanya, keluarganya bukan orang senang untuk berpindah ke tempat lain atau menggantikan barang yang rosak, namun tetap reda dengan ujian Allah SWT.

Lateeffah (kiri) membantu Aini dan cucunya Nur Delisha Idlia Ilhamshah membersihkan rumah mereka yang dinaiki air akibat banjir kilat semalam di Kampung Semarak, Rahang. FOTO AZRUL EDHAM
Lateeffah (kiri) membantu Aini dan cucunya Nur Delisha Idlia Ilhamshah membersihkan rumah mereka yang dinaiki air akibat banjir kilat semalam di Kampung Semarak, Rahang. FOTO AZRUL EDHAM

"Hujan lebat dan banjir ini memang dugaan Allah turunkan, namun pihak berkuasa boleh melakukan sesuatu bagi mengelakkan ia berulang seperti menyelenggara parit dan Sungai Linggi yang berdekatan rumah," katanya.

Penduduk, Zaini Yahya, 68, berkata kawasan rumahnya sering dinaiki air jika hujan lebat berpanjangan kerana berada di tempat rendah.

"Saya minta pihak berwajib supaya dapat mengorek atau mendalamkan sungai. Saya pula tinggal sendirian dan dalam usia begini bimbang jika apa-apa berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan, Lateeffah Ali berkata, kerajaan negeri diminta melakukan penyelenggaraan segera terhadap sungai di beberapa kawasan banjir di daerah Seremban.

"Harap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu memandangkan 90 peratus penduduk di sini sekarang adalah warga emas kerana generasi muda sudah keluar dan tinggal di rumah sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 3:49 PM