Lima mangsa banjir dari Kampung Periuk, Kampung Baru dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Kelab Sultan Sulaiman susulan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Lima mangsa banjir dari Kampung Periuk, Kampung Baru dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Kelab Sultan Sulaiman susulan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lima mangsa banjir dari Kampung Periuk, Kampung Baru dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Kelab Sultan Sulaiman susulan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat hari ini.

Jurucakap Bahagian Operasi Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pusat operasi itu dibuka susulan selepas ada kediaman dinaiki air dan pihak bomba menyelamatkan mereka sebelum dibawa ke situ.

Menurutnya, banjir kilat turut berlaku di Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan ketika ini anggota bomba sedang menjalankan operasi di kawasan terjejas.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan hujan lebat lebih dua jam bermula 2 petang hari ini, mengakibatkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas termasuk Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5 dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak.

Terdapat jalan utama yang dinaiki air menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 7:53 PM