Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lima sekeluarga didenda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam termasuk mengeluarkan perkataan kesat dan mengugut polis Mac lalu.

Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Hafizi Zakaria, 25, Zakaria Kadir KV Raja, 60, Putrawirawan Irwan, 40, Ahmad Hafizan Zakaria, 19, dan Nor Ain Zakaria, 36, selepas menerima pengakuan bersalah dan mensabitkan mereka dengan pertuduhan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan seorang lagi tertuduh, iaitu juvana lelaki berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan itu, dilepaskan dengan jaminan RM1,000 dan menetapkan sebutan kes pada 4 Julai depan untuk fakta dan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka yang mempunyai hubungan bapa, anak, menantu dan cucu didapati dengan sengaja menghalang tugas empat anggota polis berpangkat koperal di pekarangan Balai Polis Batu Berendam pada 26 Mac lalu, kira-kira jam 1 pagi.

Oleh itu mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga anggota polis cuba meleraikan kekecohan yang dicetuskan sekumpulan individu di tempat dan pada tarikh seperti pertuduhan.

Seorang daripada kumpulan berkenaan bagaimanapun mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan menyebabkan polis terpaksa menahan mereka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua tertuduh kerana kesalahan dilakukan terhadap penjawat awam adalah serius.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dalam rayuan secara berasingan, bagaimanapun meminta hukuman ringan dengan alasan tidak bekerja, menghidap pelbagai penyakit kronik dan selain perlu menyara empat anak yang masih bersekolah.

Selepas menimbangkan rayuan tertuduh dan hujah pemberat hukuman oleh pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 kepada setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Sementara itu, Ahmad Hafizi turut didenda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar atas pertuduhan berasingan iaitu mencederakan seorang lelaki, Muhammad Firdaus Azmy, 52, di kepala dengan menggunakan tangan pada masa, tarikh dan di tempat sama.

Kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

TERTUDUH didenda RM2,500 setiap seorang atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, pada Mac lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH didenda RM2,500 setiap seorang atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam, pada Mac lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 2:39 PM