Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Suri rumah warga Vietnam didakwa atas dua pertuduhan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan mengacukan gunting terhadap pegawai kanan polis dan menghalang tugas penjawat awam di sebuah kondominium di Banda Hilir, bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Nguyen Thi Cam Nhung, 27, didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan mengacukan gunting kepada Inspektor Mohd Shahrol Firrdaus Senawi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Silverscape Resident, Element Mall, di sini, pada 16 April lalu, jam 9.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan di tempat sama, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam iaitu pengadu.

Jika disabitkan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

THI Cam Nhung didakwa menyerang dan menghalang tugas pegawai kanan polis bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
THI Cam Nhung didakwa menyerang dan menghalang tugas pegawai kanan polis bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Sejurus dibacakan pertuduhan, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan kedua, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah.

Majistret Nabilah Nizam kemudian menetapkan kes disebut semula pada 13 Jun depan untuk serahan dokumen dengan kehadiran jurubahasa Vietnam.

Beliau turut membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan selepas meneliti rayuan peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah serta syarat pasport diserah untuk disimpan oleh mahkamah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya J Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 2:32 PM