Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang wanita warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan palsu sejak 22 tahun lalu didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nabilah Nizam selepas menerima pengakuan salah daripada tertuduh, Linda Crystal, 38, dan menetapkan hukuman penjara tambahan enam bulan jika ingkar membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai hukuman seperti dipohon pendakwaan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Linda didapati tanpa kuasa yang sah atau sebab munasabah, menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Tan Bee Bee beralamat di Alor Gajah.

Perbuatan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka Isnin lalu, kira-kira jam 1 tengah hari dan didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (a) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

LINDA Crystal didenda RM5,000 atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
LINDA Crystal didenda RM5,000 atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Mengikut fakta kes, semakan nombor kad pengenalan yang digunakan tertuduh tiada rekod dan tertuduh mengaku bernama Linda Crystal berasal dari Bandung, Indonesia.

Tertuduh mengaku memperoleh kad pengenalan palsu ketika bekerja di sebuah salun di Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun dengan bayaran RM1,500 dan turut memiliki kad kartu tanda penduduk Republik Indonesia.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Melaka, Ahmad Amirul Ahmad Jamal berhujah supaya hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius.

Tertuduh, bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan mengalami tekanan perasaan serta perlu menjaga suami warga tempatan yang mempunyai masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:02 PM