ORANG UTAN.
ORANG UTAN.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bagan Serai: Paras air di Tasik Bukit Merah, di sini yang dikatakan semakin kritikal sejak lebih seminggu lalu tidak menjejaskan usaha konservasi orang utan di Pulau Orang Utan (OUI) kendalian Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (OUIBM).

Eksekutif Kewangan OUIBM, Siti Rohaya Mt Nayan berkata, ketika ini pihak pengurusan mengambil inisiatif dengan berkayak sejauh kira-kira 2.7 kilometer atau 45 minit sehala setiap hari untuk menghantar bekalan makanan dan ubatan kepada orang utan di pulau itu.

"Setiap hari dua kakitangan akan berkayak pada 8 pagi untuk ke pulau dan pulang semula pada 5 petang.

"Jadi buat masa ini orang utan masih terjaga rapi dan tidak terjejas termasuk dari segi kesihatan mereka.

"Yang terjejas hanya pendapatan untuk menanggung kos operasi termasuk gaji 14 kakitangan OUIBM," katanya dihubungi hari ini.

Siti Rohaya berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai inisiatif lain termasuk memindahkan sementara 15 orang utan di pulau itu sekiranya keadaan terlalu kritikal.

"Kami turut difahamkan proses pembenihan awan akan dilakukan bagi mengembalikan semula paras air tasik ini kepada normal.

"Jadi kami anggap keadaan sekarang belum terlalu serius hingga menghalang kakitangan kami menghantar bekalan makanan dan ubatan," katanya.

Katanya, OUIBM ditutup kepada pengunjung sejak 21 Mei lalu sehingga diberitahu kelak.

Beliau berkata, penyusutan paras air tasik tahun ini dianggap sangat mencabar memandangkan ia adalah kali kedua berlaku.

"Penyusutan pertama berlaku antara Januari hingga Februari lalu yang menyaksikan OUIBM ditutup kira-kira sebulan.

"Kali ini, mungkin OUIBM akan ditutup sebulan lagi, sekiranya keadaan masih sama atau lebih kritikal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Razman Zakaria dijadualkan menyertai program Solat Sunat Hajat dan Solat Istisqa' (solat meminta hujan) pada Jumaat sebagai antara ikhtiar mengembalikan semula paras air di Tasik Bukit Merah.

Media sebelum ini melaporkan, paras ais di Kolam (Tasik) Bukit Merah mencapai paras kritikal iaitu 20 kaki (6.09 meter) pada 30 Jun.

Jumaat lalu, satu notis dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Kerian memaklumkan bekalan air pengairan khususnya kepada pesawah akan dihentikan secara berperingkat sepenuhnya apabila paras Kolam Bukit Merah mencecah paras 20 kaki.

Sebaliknya, keutamaan bekalan air adalah untuk rawatan air mentah oleh Loji Rawatan Air (LAP) Gunung Semanggol dan Jalan Baru, Parit Buntar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 4:14 PM