ABDUL Rahman ketika menyertai lawatan kerja rasmi delegasi Malaysia ke Jepun diketuai Perdana Menteri. FOTO Ihsan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
ABDUL Rahman ketika menyertai lawatan kerja rasmi delegasi Malaysia ke Jepun diketuai Perdana Menteri. FOTO Ihsan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Luar Bandar yakin limpahan kemasukan pelabur asing susulan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatan kerja rasmi delegasi Malaysia ke Jepun selama lima hari, bakal memberi manfaat besar terhadap negara.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau percaya suntikan pelaburan dari negara matahari terbit itu akan bertambah baik selepas ini susulan persetujuan Malaysia-Jepun menaik taraf hubungan masing-masing.

Beliau berkata, dalam pertemuan Ismail Sabri dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo, beliau bersetuju hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf daripada Strategic Partnership kepada Comprehensive Strategic Partnership.

"Kesediaan Perdana Menteri Jepun untuk menaik taraf hubungan ini adalah satu indikasi mereka meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap kerajaan Malaysia yang dipimpin Ismail Sabri.

"Ini termasuklah kesediaan pelabur asing yang bersetuju untuk memulakan pelaburan di Malaysia dengan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, limpahan kemasukan pelabur asing ini mampu menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara.

Justeru, beliau berkata, bagi memastikan keseimbangan ekonomi bandar dan luar bandar, satu pelan strategi terbaik akan dirangka bagi memastikan masyarakat luar bandar juga mendapat manfaat daripada pelaburan itu.

"Faktor pendidikan, kemahiran, kesamaan ruang serta peluang perlu dititikberatkan dalam usaha menangani cabaran ekonomi di kawasan luar bandar.

"Saya bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melihat dengan lebih terperinci strategi yang boleh dirangka supaya Keluarga Malaysia secara keseluruhannya turut merasai pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman memuji tindakan Ismail Sabri menyuarakan pendirian tegas negara mengenai peperangan Rusia-Ukraine menerusi Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) yang memberi kesan kepada negara miskin.

"Impak rantaian turut dirasai Malaysia kerana ia akan menjejaskan bekalan makanan. Pendirian kerajaan Malaysia jelas, peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi perlu diselesaikan secara damai melalui meja rundingan.

"Perdana Menteri juga turut menyatakan pendirian mengenai Laut China Selatan kekal sebagai Zon Dagangan Bebas, namun sebarang pencerobohan tidak dibenarkan. Tiada kompromi dalam isu kedaulatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 9:17 PM